Sunday, November 28, 2010

[Info] Panduan Memberi Nama Anak

Nama seseorang manusia adalah tanda dan alamat untuk dirinya. Tanpa nama, seseorang insan sukar dikenali dan dipanggil. Kerana itu, apabila lahir seorang bayi, wajib bagi penjaganya memberikan satu nama kepadanya. Imam Ibn Hazm menukilkan kesepakatan ulama tentang wajib memberi nama kepada anak lelaki dan perempuan.

Dalam memberikan nama anak, jangan kita memandang remeh. Kerana, nama yang kita berikan kepada sikecil inilah yang akan menjadi label untuk dirinya sampai bila-bila. Nama inilah yang akan tercatat dalam sijil kelahirannya, kad pengenalannya, lesen memandunya, sijil-sijil akademiknya, sehingga ke sijil kematiannya.

Jika nama yang diberikan memberi maksud yang tidak baik, dia akan dikenali dengan nama itu sehingga akhir hayatnya. Bukan itu sahaja, orang yang memberikan nama juga akan menerima malu. Sebagaimana pepatah (Arab) menyebut, ‘Melalui namamu, sudah kukenal siapa ayah kamu’.

Oleh itu, sebelum memberikan suatu nama bagi anak yang lahir, wajar diperingatkan dengan beberapa perkara. Secara ringkasnya seperti berikut:

1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnul Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

2) Waktu memilih nama. Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Pilihlah mana-mana yang digemari.

3) Siapakah yang berhak memberi nama? Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.

4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya. Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.

5) Pilihan nama yang baik. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.

6) Contoh nama-nama yang digemari syarak ialah;
- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abd’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat.

7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram. Seperti:
- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.
- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Al-Rahman, Al-Khaliq.
- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.
- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).
- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-Walhan, Al-A’war, dan Al-Ajda’.

8)Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya:
- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin ???? (Penggoda).
- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).
- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.
- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama. Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.

9) Menukar kepada nama yang baik. Jika ditakdirkan seseorang diberikan nama yang tidak menepati kehendak syarak, contohnya nama yang diharamkan, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. Direkod oleh Tirmizi.

Kesimpulan, pilihlah nama yang cantik dan bertepatan dengan syarak. Jangan hanya melihat kepada sebutan yang menarik dan glamour.



Kejahilan masyarakat dan kelalaian Ulama’ adalah di antara faktor mengapa berlakunya kesalahan (bertentangan dengan kehendak syariat) dalam memberi nama kepada anak-anak yang baru lahir. Adalah amat menyedihkan perkara ini tidak begitu dipedulikan seolah-olah kesalahan tersebut tidak begitu penting walhal Nabi s.a.w. amat menitikberatkan hal ini dengan mengubah nama sahabat-sahabat yang tidak elok atau tidak sesuai. Di antara kesalahan dalam memberi nama yang dikenalpasti di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia adalah:

1. Nama-nama yang memberi makna yang tidak elok. Nabi s.a.w. pernah menukar nama sahabatnya Zaham (yang bermaksud ‘menyibuk, mengganggu’) kepada Basyir (yang bermaksud ‘berita gembira’). Di antara contoh nama yang sering digunakan :

Hazan (Kesedihan), Hazin (Seorang lelaki yang sedih), Hazaniyyah (Hidup penuh dengan kesedihan)
Zani (Lelaki penzina), Zaniah (Penzina perempuan)
`Asiah (Perempuan penderhaka / Perempuan pembuat Maksiat)
Wati (Persetubuhan)
Azli (Celaanku), Azlan (Celaan)

2. Nama-nama Allah (sifat Tuhan), contohnya:
Azali
Muhaimin

3. Nama-nama yang berkaitan dengan tempat, contohnya:
Suyuti (Orang Asyut)
Bukhari (Orang Bukhara)
Ghazali (Orang Ghazal)
Nawawi (Orang Nawa)
Misri atau Masri (Orang Mesir)
Baihaqi (Orang Baihaq)
Tirmizi (Orang Tirmiz)

4. Nama-nama yang memberi makna terlalu elok sehingga tidak sesuai diletakkan pada empunya nama seperti Khairunnisa` (sebaik-baik wanita) sedangkan dalam hadits ada menyebutkan: “Sebaik-baik wanita di alam ini adalah Asiah dan Maryam.” Selain itu nama ini juga seakan berlawanan dengan hadits.

5. Nama-nama yang dilarang dalam hadits seperti Yasar, Robah, Aflah, Najah dan lain-lain kerana ada sempena baik pada suatu nama. Sebagai contoh Najah (Kejayaan). Apabila ada orang bertanya: “Najah ada tak disini?” Maka dijawab: “Najah tiada disini,” secara tidak langsung memberi maksud kejayaan tiada di sini.

6. Nama yang mengangkat diri sendiri kerana Nabi s.a.w. sendiri ada menukarkan nama Barrah (yang bermaksud ‘yang sangat baik’) kepada Zainab

7. Nama yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti:
Abdul Manaf (Hamba berhala Manaf)
Ghulam `Ali (Hamba `Ali)

8. Nama yang sepatutnya untuk lelaki tetapi digunakan pada perempuan, seperti Nur (cahaya) dalam bahasa Arab adalah muzakkar (untuk lelaki)

9. Nama dengan makna yang tidak tepat dengan pemakainya seperti:
Siti (Puan) sedangkan gelaran ‘Puan’ hanya digunakan pada orang yang sudah berkahwin dan begitu juga dengan Anisah (Cik) pula hanya digunakan untuk wanita yang belum berkahwin sebagaimana yang digunakan di tanah Arab pada masa ini.
Sayyid (Tuan) digunakan oleh orang `Arab pada sesiapa sahaja asalkan dia lelaki dan ini tidak bermakna dia adalah dari keturunan Nabi s.a.w.

10. Nama yang sebenarnya adalah nama sesuatu pekerjaan dalam bahasa Arab, contohnya:
Masyitah (Tukang sikat rambut) digunakan pada mana-mana perempuan yang bekerja sebagai penyikat rambut
Halwani (Lelaki penjual kueh) digunakan pada mana-mana lelaki yang menjual kueh-mueh tetapi digunakan untuk perempuan di Malaysia.

11. Nama yang tidak betul seperti nama asalnya, seperti:
Zaleha – sepatutnya Zulaikha

12. Nama yang dihubungkan pada kisah yang tidak dipastikan kebenarannya, seperti:
‘Zulaikha’ yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusuf yang terkenal dengan ketampanannya. Dipendekkan cerita kononnya Zulaikha bertemu semula dengan Nabi Yusuf setelah beliau sudah tua dan buta matanya. Oleh kerana cintanya begitu mendalam pada Nabi Yusuf akhirnya Nabi Yusuf menerimanya sebagai isteri. Kemudian Zulaikha kembali menjadi muda dan dapat melihat seperti sediakala. Inilah kekarutan yang direka-reka dan kemudiannya turut memberi kesan kepada masyarakat Islam sehingga menamakan anak-anak dengan nama Zulaikha dan menjadikannya sebagai doa dalam kad-kad perkahwinan.
Muti`ah kononnya adalah wanita pertama yang masuk syurga sebelum Fatimah al-Zahra` lagi. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang wanita yang paling solehah kerana sangat baik dalam melayani dan berkhidmat pada suaminya.

13. Nama yang memberi makna sifat, seperti:
Muti`ah (yang taat)

14. Nama yang tidak memberi apa-apa makna, lebih buruk lagi jika apabila dipendekkan memberikan makna yang tidak elok seperti:

Ezani – dipendekkan menjadi: Zani (lelaki penzina)

15. Nama yang terpengaruh dengan budaya barat, contohnya:
Isaac – asalnya Ishak (Nama Nabi)
Harry – asalnya Khairi (Kebaikanku)

16. Nama yang memberikan makna yang tidak jelas atau lucu dalam bahasa Arab, contohnya:
Syamsul Bahri (matahari lautan)
Badrul Hisyam (bulan yang pecah-pecah)
Nik (kemaluan perempuan atau mentah, tidak matang)
Rafidhi (Syiah pelampau)
Atan (keldai betina)
Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)
Jamalullail (keindahan malam)

Nota: Sekiranya sesuatu nama memberikan beberapa makna termasuk yang baik dan buruk maka harus menggunakannya kerana ini ada dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri, contohnya:
Zainab - makna baik : nama bagi sejenis pokok yang wangi
- makna buruk : pengecut
Mu`awiyah - makna baik : pembela / pejuang
- makna buruk : yang menyalak

17. Nama yang mempunyai ‘ni’ dihujungnya seperti ‘Halwani’ yang sering digunakan pada orang perempuan masyarakat Melayu yang sebenarnya bermaksud ‘lelaki penjual kueh’.

Nota: Nama-nama bukan dari bahasa Arab yang elok maknanya juga harus dipakai seperti:
Fairuz
Sirin (manis –bahasa Farsi)
Rustam
Sarfaraz (mulia)
Sibawaih (wangian epal)

18. Nama-nama yang membawa maksud yang buruk atau langsung tidak memberikan apa-apa makna kerana salah sebutan atau ejaannya seperti:
Sukri (kemabukanku) – sepatutnya Syukri (Kesyukuranku)
Sya`ari (buluku) – sepatutnya Asy`ari
Nordin (tiada makna) – sepatutnya Nuruddin (cahaya agama)
Kadir (keruh) – sepatutnya `Abdul Qadir (Hamba kepada yang Maha Berkuasa)
Jamaluddin (Unta agama) – sebetulnya Jamaaluddin جمال الدين(kecantikan agama) ya`ni sebutan yang panjang pada ‘maal’

19. Gabungan yang salah atau tidak kena pada tempatnya seperti ‘Nurhafizah’ tidak memberi apa-apa maksud kerana gabungan ini salah dari segi kaedah bahasa Arab, dan contoh gabungan yang betul: Nurhayati (cahaya hidupku), Nur`aini (cahaya mataku)

Nota: Harus menamakan dengan nama-nama bintang, burung atau bunga seperti Surayya, Aktar (tuah atau bintang dalam bahasa Farsi) dan lain-lain

20. Nama yang salah kerana tidak membezakan penggunaan ya mutakallim dengan ya nisbah.
Ya mutakallim adalah ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna ‘sesuatu milikku’ atau ‘daripadaku’ seperti:
Syukri (Kesyukuranku)
Fathi (Kemenanganku)

Ya nisbah pula ada ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna nisbah atau hubungan pada tempat, pekerjaan dan sebagainya. Contohnya:
Imam Jalaluddin as-Suyuti yang bermaksud: Imam Jalaluddin orang asyut
Imam Muhammad bin Isma`il al-Bukhari yang bermaksud: Imam Muhammad bin Isma`il orang Bukhara
Muhammad Asri yang bermakna ‘Muhammad tawananku’, ini kerana sebenarnya ini adalah ya mutakallim dan bukan ya nisbah. Nama yang betul ialah Muhammad ‘Asri

Nota:
Seelok-eloknya sesuatu nama hendaklah dipastikan betul ejaan ruminya kerana nama juga adalah merupakan doa kepada pemiliknya, sekiranya salah sebutannya maka berlainan pula maksudnya, contohnya:
نعيمة bermaksud yang bahagia, yang lembut, yang mulia tetapi apabila dieja mengikut ejaan rumi maka ia menjadi Naimah نائمة bermaksud yang tidur.

Selain itu terdapat ilmu yang dinamakan Ilmu Raksi yang mempunyai kaedah untuk mentafsir sifat seseorang berdasarkan namanya, ilmu ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam bab jenis-jenis ilmu.

Nota: Kita mungkin boleh mengelakkan kesalahan seperti ini dengan:

Membenarkan ejaan mengikut bahasa yang berkenaan seperti jawi, Arab dan lain-lain dalam kad pengenalan atau surat beranak supaya dapat disebut dengan betul mengikut kehendak penama tersebut.

Jabatan Pendaftaran membenarkan penama yang ingin menukar nama yang tidak sesuai kepada nama yang menepati syariat.

Undang-undang diwujudkan bagi mewajibkan pendaftar nama mengikut kaedah yang betul supaya tidak tersalah dalam memberi nama.

Nota: Harus menggunakan nama gabungan dari ibu atau anak dan ayah sekiranya membawa makna yang elok, seperti nama seorang ulama`:

Ihsan Ilahi Zahir – Ayahnya bernama Zahir (pembela, penyokong) bermakna ihsan Tuhanku nyata.

Fadhal Ilahi Zahir – bermaksud kurniaan Tuhanku nyata.

21. Tidak boleh menggunakan nama ‘Malikul Muluk’ atau ‘Malikul Malak’ kerana ada larangan dalam hadits dan terdapat penggunaannya dalam al-Quran, firman Allah s.w.t:
لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

(Pada saat itu Allah berfirman): "Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaanya segala-galanya! [ Al-Ghafir :16 ]

dan ayat:
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dia lah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat sejahtera (dari Segala kekurangan); Yang Maha melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha suci Allah dari Segala Yang mereka sekutukan dengannya. [ Al-Hasyr: 23 ]

22. Tidak boleh menggunakan nama yang merupakan gelaran yang khusus kepada seseorang Nabi sebagai mukjizatnya, seperti:

Ruhullah (Roh daripada Allah) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Isa a.s kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa ayah dengan kuasa Allah

Khalilullah (Kekasih Allah) / Khalilurrahman (Kekasih kepada yang Maha Pengasih) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s

Selain itu nama-nama ini juga membawa maksud yang sangat tinggi dan keterlaluan untuk dipakai pada orang yang biasa selain bercanggah dengan hadits dan terdapat larangan yang terang berkaitannya.

No comments:

Post a Comment